Digital Games and Long-Term Game Engagement

Permainan Digital dan Keterlibatan Jangka Panjang

– Headed by Prof Madya Dr Nazlena Mohamad Ali

Perlindungan Harta Intelek (Hak Cipta) : Model Dimensi Hubungan Faktor Keterlibatan Jangka Panjang Dalam Permainan Digital (F.1753), 2018

 

PENGENALAN

Abad ke 21, telah menunjukkan permainan digital menjadi satu bentuk hiburan global bagi golongan belia dan remaja. Permainan digital merupakan permainan interaktif berkomputer yang memerlukan kemahiran, kecekapan bertindak, dan strategi bermain yang menawarkan pengalaman menyeronokkan kepada pemain. Kemajuan teknologi kini yang menawarkan interaksi antaramuka yang lebih menarik dengan pelbagai genre permainan telah mengubah landskap permainan pada skala yang luar biasa. Antara tren terkini termasuklah permainan secara berterusan seantero dunia, penglibatan lebih ramai komuniti pemain, model ekonomi baru yang menggunakan transaksi mikro, serta peningkatan kandungan yang dijana pengguna (user-generated content). Dalam industri permainan digital, pembangun permainan sentiasa mencari kaedah baru untuk mengekalkan keterlibatan jangka panjang permainan dengan menggalakkan pemain untuk bermain sesuatu permainan mereka secara berulang kali dalam lebih banyak sesi permainan.

Perkembangan Teknologi Permainan Digital

KETERLIBATAN PERMAINAN

Keterlibatan permainan (game engagement) difahami sebagai keseronokan, keasyikkan atau keinginan pemain semasa bermain sesuatu permainan untuk terus bermain, atau keinginan untuk kembali bermain secara berulang kali dalam tempoh masa yang lebih lama. Keterlibatan pemain dalam permainan digital bukanlah fenomena baru dalam masyarakat muda hari ini. Hakikatnya, banyak masa yang telah diperuntukkan mereka untuk bermain permainan digital pada setiap hari. Jumlah masa yang diperuntukkan untuk bermain permainan menjadi petunjuk kepada tahap keterlibatan permainan. Dengan setiap masa yang telah dihabiskan untuk bermain permainan digital, ia adalah penting untuk memahami mengapa pemain bermain permainan digital. Jika diteliti dengan lebih mendalam, kenapa pemain lebih cenderung untuk bermain permainan digital berbanding melakukan aktiviti lain? Pasti terdapat pelbagai faktor yang telah mendorong pemain untuk terus bermain permainan digital.

HASIL KAJIAN – FAKTOR KETERLIBATAN PERMAINAN

Satu  model dimensi hubungan antara faktor keterlibatan permainan jangka panjang dalam permainan digital telah dibangunkan. Model ini menunjukkan satu dimensi hubungan di antara faktor keterlibatan permainan dengan tahap keterlibatan dan jangka masa keterlibatan permainan bagi memberi gambaran yang holistik terhadap faktor yang mempengaruhi keterlibatan pemain dalam satu jangka masa yang panjang.

Faktor Keterlibatan Permainan Digital

Faktor Keterlibatan

Definisi

Rekreasi Bertujuan untuk relaks, bersantai, berseronok atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang.
Kemahiran Bertujuan untuk memahirkan diri dengan kawalan dan mekanisme permainan atau ingin meningkatkan kemahiran kendiri yang lain seperti keupayaan koordinasi, kemahiran bahasa dan sebagainya.
Eskapisme Bertujuan untuk melepaskan diri dari tekanan, perasaan bosan atau ingin melupakan masalah yang dihadapi dalam dunia sebenar.
Persaingan Bertujuan untuk menyelesaikan halangan, mencabar dan bersaing dengan orang lain, mengalahkan orang lain atau keinginan pemain untuk memenangi permainan
Sosial Bertujuan untuk berinteraksi dengan orang lain, ingin mengenali individu baru, bermain dan bekerja sama dengan individu lain dalam permainan.
Minat Bermain kerana mempunyai minat dengan sesuatu permainan.
Cabaran Keinginan untuk menyelesaikan misi, halangan dan cabaran yang terdapat dalam sesuatu permainan.

KESIMPULAN

Sumbangan model adalah dari aspek mengenalpasti faktor keterlibatan dan pembentukan model hubungan keterlibatan permainan yang dapat memperluaskan pengetahuan tentang keterlibatan permainan yang bukan sahaja bermanfaat sebagai rujukan dalam bidang pembangunan industri permainan tetapi juga sebagai nilai tambah kepada penyelidikan mengenai ketagihan yang berkaitan dengan teknologi dalam usaha penyelidikan pada masa hadapan.